Wednesday, March 27, 2013

CAT BOOK





Tajuk: A Street Cat Named Bob
Penulis: James Bowen
Tahap: 4.5

Ringkasan: Buku ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seekor kucing terbiar yang cedera dan ditemui oleh James Bowen di kawasan rumahnya. Bermula dari saat itu, kucing yang dinamakan Bob itu diambil, dijaga dan dirawat dengan sebaiknya. James merupakan seorang pemain muzik jalanan dan bergantung hidup dengan sumbangan wang yang diberi oleh orang ramai. Kehadiran Bob memberi satu tanggungjawab baru kepada James, namun kehadiranya memberi satu semangat baru ketika James ingin menjauhkan diri dari ketagihan dadah. Bob sentiasa bersama James di mana sahaja apatah lagi ketika mencari rezeki di jalanan. Namun begitu, James sentiasa memastikan Bob jauh dari bahaya dan sentiasa selamat daripada keadaan luar yang sentiasa dikelilingi oleh orang yang adakalanya menimbulkan rasa curiga dihatinya.


Nilai murni & pengajaran: Antara nilai murni yang ada dalam buku ini adalah nilai kasih sayang terhadap haiwan. Walaupun ia hanyalah haiwan kecil dan lemah, manusia yang dikurniakan kemampuan berfikir harus mempunyai rasa sayang terhadap mereka. Rasa tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan. Apabila kita membawa pulang apa-apa haiwan, adalah menjadi tanggungjawab sendiri untuk menjaganya dengan sempurna termasuklah makan minum, kesihatan dan tempat tinggal. Selain itu, kita haruslah menghormati pekerjaan orang lain walaupun tidak kaya-raya dan berpangkat tinggi. Asalkan tidak mencari rezeki dengan cara yang salah.

Pendapat Peribadi : A Street Cat Named Bob adalah cerita sebenar yang diceritakan secara jelas oleh James Bowen sendiri. Kisah hidup yang dilaluinya menaikkan semangat dan sentiasa menyentuh perasaan. Setiap cabaran yang dilaluinya bergerak seperti roda, adakala di atas dan ada kalanya di bawah. Menjalani kehidupan jalanan di antara England dan London, sesekali menziarahi ibunya di Australia, dia terpaksa meninggalkan Bob bersama teman baiknya dengan berat hati. Pernah suatu ketika Bob melarikan diri ketika mencari rezeki bersama, menghilangkan diri di celah kesesakan orang ramai. James meninggalkan gitarnya demi mencari Bob walaupun difikirannya merasakan bahawa beliau mungkin tidak akan bertemu lagi dengan Bob. Walaupun ada segelintir orang yang mungkin merasakan buku ini lebih menceritakan tentang James sendiri, bukan Bob tetapi saya tetap sukakannya. Ianya seperti kisah dongeng sebenar, mengajar kita untuk mengatasi masalah, mencari diri kita yang sebenar dan melihat ke arah yang lebih positif. Apa yang lebih penting, kucing kesayangannya menjadi motivasi dirinya untuk bergerak lebih maju dan kehadapan.



Putrajaya, Malaysia - 27 Mac 2013

No comments:

Post a Comment