Sunday, April 14, 2013

FAKTA KUCING : RASA MANIS



Kucing anda tidak dapat merasa makanan yang manis. Ini adalah kerana mereka tidak mempunyai deria yang dapat mengesan gula.

sumber : theoatmeal.com

Thursday, April 11, 2013

SEMOGA BAHAGIA SELAMANYA





     Ibu kucing, maafkan aku sebab tidak dapat menolongmu suatu ketika dahulu. Aku masih sedih hingga waktu ini setiap kali terkenangkan peristiwa itu. 

     Pagi subuh yang hening itu, suaramu begitu sayu meminta pertolongan. Kesakitan dan penderitaan jelas diwajahmu kerana sukar untuk melahirkan anak-anak di dalam perutmu. Tiba-tiba nenekku datang kepadamu dengan penyodok tanah di tangan. Disodoknya kamu dan dilemparkan ke kawasan semak. Aku tergamam tak terkata melihat nenekku yang tiada rasa belas itu.Faham benar aku dengan sikap nenekku yang tidak pernah suka aku membela kucing di rumah. Bimbang dimarah nenek, aku cepat-cepat ke sekolah.. 

     Sepanjang masa di sekolah aku banyak termenung memikirkan nasibmu. Dalam perjalanan pulang, hatiku berdebar..  Apabila hampir sampai, aku menoleh ke tempat terakhir kau berada. Hancur luluh hati ini bila melihat jasadmu sudah tidak bernyawa lagi, pergi bersama anak-anakmu yang belum lahir di bawah panas matahari terik.. Sedihnya rasa hanya Tuhan saja yang tahu.  Ya Allah, ampunkanlah dosa aku. Ampunkanlah juga dosa nenekku.. Aku masuk ke dalam rumah, menyendiri di dalam bilik sambil memikirkan segala yang terjadi. Aku redha kerana yang terjadi adalah takdir. 

     Aku masih bersekolah ketika itu dan tidak punya apa-apa, tiada sesiapa selain nenek, tiada klinik haiwan di kampung aku.. tetapi alangkah baik kalau aku dapat menemanimu hingga melahirkan anak, atau sampai hayatmu yang terakhir..

Kitty dan Tobby

BIODATA SI COMEL





Thursday, April 4, 2013

FAKTA KUCING : TIDUR






Secara purata, kucing menghabiskan masanya 2/3 untuk tidur setiap hari.Ini bermakna kucing yang berusia sembilan tahun telah terjaga untuk hanya tiga tahun hayatnya.

sumber : facts.randomhistory.com

Sunday, March 31, 2013

INI KISAH TOBBY & KITTY!

     Bagaikan mimpi jadi kenyataan! Rasa hidup ini bagaikan sempurna bila ditemani oleh si bulus yang comel. Masih ingat lagi pertama kali berjumpa Tobby. Anak kucing hitam yang dibeli dengan murah di pasar awam, Stadium Melawati Shah Alam. Masa itu temankan kakak ipar pergi belikan kawan untuk kucingnya, Kitty yang juga dibeli di tempat yang sama. Masa tu cuma tinggal beberapa ekor kucing sahaja. Memandangkan hanya Tobby sahaja yang sebaya dengan Kitty, maka saya pun membelinya. Sepanjang perjalanan, Tobby asyik mengiau saja. Kuat juga suara Tobby ni.

     Sampai saja di rumah, Kitty sudah rasa tergugat dengan kehadiran Tobby, asyik merenung Tobby sahaja. Tobby pula asyik meninjau rumah walaupun masih takut-takut. Kitty akan menderam bila Tobby mendekati atau melintasinya. Mulanya Tobby buat tak tahu sahaja, tetapi lama kelamaan Tobby pun turut menderam. Walaubagaimanapun, tiada pergelutan berlaku antara mereka. Kadang-kadang kami asingkan mereka di bilik berlainan. Sesekali kami dekatkan mereka, namun dengan berhati-hati.

     Masuk hari ketiga, dah nampak perubahan. Kitty akan pergi mencuit Tobby, kemudian lari dari situ. Kemudian bila Tobby mendekatinya Kitty masih lagi menderam. Masuk hari keempat kami terkejut kerana Kitty dan Tobby dah main bersama tetapi mereka bergusti, nampak macam kasar jugak. Bermain tetapi lebih kepada ambil kesempatan.. Selepas beberapa hari terus jadi kawan baik sampai sekarang. Gembira sangat tengok mereka membesar dengan sihat. Kini, Tobby ada di rumah kakak ipar. Sengaja ditinggalkan untuk berkawan dengan Kitty. Bila hujung minggu, mesti pergi jumpa Tobby dengan Kitty, sebab rindulah!


Wednesday, March 27, 2013

CAT BOOK





Tajuk: A Street Cat Named Bob
Penulis: James Bowen
Tahap: 4.5

Ringkasan: Buku ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seekor kucing terbiar yang cedera dan ditemui oleh James Bowen di kawasan rumahnya. Bermula dari saat itu, kucing yang dinamakan Bob itu diambil, dijaga dan dirawat dengan sebaiknya. James merupakan seorang pemain muzik jalanan dan bergantung hidup dengan sumbangan wang yang diberi oleh orang ramai. Kehadiran Bob memberi satu tanggungjawab baru kepada James, namun kehadiranya memberi satu semangat baru ketika James ingin menjauhkan diri dari ketagihan dadah. Bob sentiasa bersama James di mana sahaja apatah lagi ketika mencari rezeki di jalanan. Namun begitu, James sentiasa memastikan Bob jauh dari bahaya dan sentiasa selamat daripada keadaan luar yang sentiasa dikelilingi oleh orang yang adakalanya menimbulkan rasa curiga dihatinya.


Nilai murni & pengajaran: Antara nilai murni yang ada dalam buku ini adalah nilai kasih sayang terhadap haiwan. Walaupun ia hanyalah haiwan kecil dan lemah, manusia yang dikurniakan kemampuan berfikir harus mempunyai rasa sayang terhadap mereka. Rasa tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan. Apabila kita membawa pulang apa-apa haiwan, adalah menjadi tanggungjawab sendiri untuk menjaganya dengan sempurna termasuklah makan minum, kesihatan dan tempat tinggal. Selain itu, kita haruslah menghormati pekerjaan orang lain walaupun tidak kaya-raya dan berpangkat tinggi. Asalkan tidak mencari rezeki dengan cara yang salah.

Pendapat Peribadi : A Street Cat Named Bob adalah cerita sebenar yang diceritakan secara jelas oleh James Bowen sendiri. Kisah hidup yang dilaluinya menaikkan semangat dan sentiasa menyentuh perasaan. Setiap cabaran yang dilaluinya bergerak seperti roda, adakala di atas dan ada kalanya di bawah. Menjalani kehidupan jalanan di antara England dan London, sesekali menziarahi ibunya di Australia, dia terpaksa meninggalkan Bob bersama teman baiknya dengan berat hati. Pernah suatu ketika Bob melarikan diri ketika mencari rezeki bersama, menghilangkan diri di celah kesesakan orang ramai. James meninggalkan gitarnya demi mencari Bob walaupun difikirannya merasakan bahawa beliau mungkin tidak akan bertemu lagi dengan Bob. Walaupun ada segelintir orang yang mungkin merasakan buku ini lebih menceritakan tentang James sendiri, bukan Bob tetapi saya tetap sukakannya. Ianya seperti kisah dongeng sebenar, mengajar kita untuk mengatasi masalah, mencari diri kita yang sebenar dan melihat ke arah yang lebih positif. Apa yang lebih penting, kucing kesayangannya menjadi motivasi dirinya untuk bergerak lebih maju dan kehadapan.



Putrajaya, Malaysia - 27 Mac 2013

Saturday, March 16, 2013

Belang


     Selama 25 tahun aku hidup, tak banyak pun kucing yang pernah aku bela.. Ada kucing yang pernah datang singgah dan menumpang kasih. Itu pun x lama.. Kenangan yang indah dengan Si Comel banyak, manakala yg sedih sedikit tapi cukup memberi kesan padaku.

     Aku tinggal dengan nenek sehingga darjah enam, kemudian barulah aku tinggal dengan ayahku. Rumah ayah ada kucing jadi dapat la aku bermain dengan mereka. Dulu ayah aku ada seekor kucing, warnanya oren dan berstoking putih tetapi ayah namakannya Putih.  Putih bijak, apabila terdengar sahaja bunyi motor ayah dari jauh dia sudah menunggu di depan pintu menyambut ayah balik.. Suatu ketika Putih bunting.

     Selang beberapa bulan kemudian Putih melahirkan 4 ekor anak yang comel-comel, sangat comel! Ada belang, calico, tompok, dan warna coklat.. Kemudian Putih bunting sekali lagi semasa anak-anaknya baru  saja 3 bulan. Di situlah bermulanya episod sedih.. sepupu-sepupuku yang datang ke rumah meminta 3 ekor kucing kecuali Belang. Ayahku tanpa ragu-ragu menyerahkan mereka memandangkan Putih bunting lagi.
   
     Apabila mereka semua bertolak pergi mak tiriku berkata
     “kenapa tak bagi Belang skali? kesian dia nanti tak ada kawan..”. Aku tersentak lalu sambil mengendong Belang mengejar kereta mereka mengikut jalan pintas. Aku sempat menahan kereta mereka di tepi jalan tetapi mereka hanya melihat aku tanpa rasa apa-apa dan berlalu pergi. Dalam kecewa Aku bawa Belang pulang sambil menangis teresak-esak sebab kesiankan nasib Belang dan sebab kucing-kucingku diambil orang. Putih pula tak mahu melayan Belang kerana sarat bunting baby baru.

     Suatu hari aku ikut mak balik kampung. Ketika berada di kampung ayahku tiba-tiba menelefonku untuk memberi tahu yang Putih telah mati dilanggar kereta.. Kesiannya, dah la tengah bunting. Keesokannya pula, ayah telefon lagi. Katanya, Belang pula kena langgar.. tak mati tapi patah pinggang, jalannya mengesot dengan kaki depan..

     Bawah perut Belang selalu melecet. Ayah sapukan minyak gamat saja dan buatkan sangkar untuk Belang di luar rumah. Aku tinggalkan Belang setiap minggu untuk ikut mak balik kampung. Terasa berat hati sangat tapi aku terpaksa.. Pulang dari kampung, aku tengok sangkar dah kosong. Belang hilang?! Ayahku boleh pulak cakap tak tahu.. sudah la Belang sakit.. Tak sanggup aku bayangkan keadaan Belang yang entah di mana. Dapat makankah? Kena baham dek biawakkah? Hujan dapat berteduhkah..? Ayah cakap mungkin Belang tak nak kami sedih bila dia mati depan kami nanti, jadi dia pergi. Hmm.. ntah la..

     Bila tinggal di rumah tepi jalan, semua kucing asyik mati kena langgar je.. Elok la rumah tu dah kosong sekarang, tak ingin pun nak balik duduk di situ lagi. Cukup la semua kenangan tinggal kenangan.