Tajuk: A Street Cat Named Bob
Penulis: James Bowen
Tahap: 4.5
Ringkasan: Buku ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seekor kucing terbiar yang
cedera dan ditemui oleh James Bowen di kawasan rumahnya. Bermula dari saat itu,
kucing yang dinamakan Bob itu diambil, dijaga dan dirawat dengan sebaiknya.
James merupakan seorang pemain muzik jalanan dan bergantung hidup dengan sumbangan
wang yang diberi oleh orang ramai. Kehadiran Bob memberi satu tanggungjawab
baru kepada James, namun kehadiranya memberi satu semangat baru ketika James
ingin menjauhkan diri dari ketagihan dadah. Bob sentiasa bersama James di mana
sahaja apatah lagi ketika mencari rezeki di jalanan. Namun begitu, James
sentiasa memastikan Bob jauh dari bahaya dan sentiasa selamat daripada keadaan
luar yang sentiasa dikelilingi oleh orang yang adakalanya menimbulkan rasa
curiga dihatinya.
Nilai murni & pengajaran: Antara nilai
murni yang ada dalam buku ini adalah nilai kasih sayang terhadap haiwan.
Walaupun ia hanyalah haiwan kecil dan lemah, manusia yang dikurniakan kemampuan
berfikir harus mempunyai rasa sayang terhadap mereka. Rasa tanggungjawab
terhadap haiwan peliharaan. Apabila kita membawa pulang apa-apa haiwan, adalah
menjadi tanggungjawab sendiri untuk menjaganya dengan sempurna termasuklah
makan minum, kesihatan dan tempat tinggal. Selain itu, kita haruslah menghormati
pekerjaan orang lain walaupun tidak kaya-raya dan berpangkat tinggi. Asalkan
tidak mencari rezeki dengan cara yang salah.
Pendapat Peribadi : A Street Cat Named Bob adalah
cerita sebenar yang diceritakan secara jelas oleh James Bowen sendiri. Kisah
hidup yang dilaluinya menaikkan semangat dan sentiasa menyentuh perasaan. Setiap cabaran yang dilaluinya bergerak seperti roda, adakala
di atas dan ada kalanya di bawah. Menjalani kehidupan jalanan di antara England
dan London, sesekali menziarahi ibunya di Australia, dia terpaksa meninggalkan
Bob bersama teman baiknya dengan berat hati. Pernah suatu ketika Bob melarikan
diri ketika mencari rezeki bersama, menghilangkan diri di celah kesesakan orang
ramai. James meninggalkan gitarnya demi mencari Bob walaupun difikirannya
merasakan bahawa beliau mungkin tidak akan bertemu lagi dengan Bob. Walaupun
ada segelintir orang yang mungkin merasakan buku ini lebih menceritakan tentang
James sendiri, bukan Bob tetapi saya tetap sukakannya. Ianya seperti kisah
dongeng sebenar, mengajar kita untuk mengatasi masalah, mencari diri kita yang
sebenar dan melihat ke arah yang lebih positif. Apa yang lebih penting, kucing
kesayangannya menjadi motivasi dirinya untuk bergerak lebih maju dan kehadapan.
![]() |
| Putrajaya, Malaysia - 27 Mac 2013 |


No comments:
Post a Comment